

Keseriusan PBNP pikat Nwakaeme
Sinar Harian
Disember 21, 2013
PENYERANG baharu Pahang, Dickson Nwakaeme mengakui usaha dan pelawaan serius Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membuatkan dirinya menerima tawaran menyarung jersi Tok Gajah untuk musim depan, lapor ROSILAWATI ROSEDI.
Bekas penyerang Kelantan yang digelar 'Orang Besi' itu memberitahu, tindakan PBNP berjaya meyakinkan beliau untuk kekal di bumi Malaysia walaupun mengakui sebelum itu dia pernah berhasrat bermain di negara lain. Selain itu, Nwakaeme ingin membuktikan kemampuan sebenarnya kepada peminat bola sepak tempatan selain bertekad membantu Pahang meraih lebih banyak kejayaan untuk musim 2014.
“Saya ingin beraksi lagi semusim di negara ini dan ingin perlihatkan siapa sebenar saya dan kemampuan sebelum berhijrah dan beraksi di negara lain. “Saya yakin boleh lakukan dan pastinya saya turut selesa bersama Pahang dengan barisan pemain yang sedia ada, semuanya boleh tercapai,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan bersama pasukan juara Piala Malaysia 2013 di sini.
Pemain berusia 27 tahun itu juga berharap musim depan akan memihak kepada Pahang dengan gandingan baharu dan barisan pemain sedia ada. Dalam pada itu, dia mengakui kemesraan pemain sedia ada membantu terutamanya dalam usaha membina keserasian bersama pemain.
“Saya gembira berada di sini dan berharap peminat Pahang dapat memberikan sokongan padu dengan kehadiran saya bersama pasukan ini. “Saya tahu peminat di sini sangat menyayangi Pahang dan harapnya saya turut menerima sokongan sama,” katanya.