

Conti tamatkan spekulasi
Sinar Harian
Disember 18, 2013
PENYERANG kelahiran Argentina, Matias Ruben Conti akan mula menjalani latihan bersama skuad Pahang, hari ini sekali gus menamatkan spekulasinya bersama pasukan itu, lapor ROSILAWATI ROSEDI.
Sebelum ini, timbul desas-desus pemain berusia 23 tahun itu tidak bersama Pahang dan dikatakan enggan menandatangani kontrak selepas namanya sudah disenaraikan dalam pasukan juara Piala Malaysia 2013.
Pengesahan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengenai penyerang itu sekali gus melengkapkan kuota empat pemain import yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pastinya menamatkan keresahan khususnya
peminat Conti yang mengharapkan kelibat penjaring tunggal final Piala Malaysia musim ini, terus kekal bersama Tok Gajah.
Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim berkata, pihaknya mengesahkan bahawa Conti antara empat pemain import yang menjadi senjata utama Pahang bagi menghadapi cabaran besar dalam saingan Liga-M musim depan.
Menurutnya, dengan kehadiran penyerang itu, persatuan mengharapkan jentera serangan skuad itu akan lebih berbisa ketika semua pasukan berusaha membariskan pasukan terbaik masing-masing.
“Tidak timbul bahawa dia (Conti) akan bermain untuk pasukan lain sebaliknya dia akan kekal bersama Pahang sekali gus dapat membantu pasukan meraih lebih banyak kejayaan pada musim depan.
“Dari segi PBNP, kita bukan saja mengharapkan sentuhan Conti, malah khidmat semua pemain import baru dan tempatan diharap memberi kekuatan buat pasukan,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, timbul isu Pahang terpaksa mendapatkan penyerang baru selepas pemain itu dikatakan mahu berubah angin.
Ia semakin jelas dengan kehadiran penyerang berusia 29 tahun kelahiran Rwanda, Jimmy Mullisa yang mencuba nasib ketika perlawanan persahabatan menentang Shahzan Muda, di sini, baru-baru ini,
Namun pengesahan PBNP mengenai Conti sekali gus menyaksikan impian peminat melihat gandingan pemain itu bersama penyerang import terbaru, Dickson Nwakaeme akan tercapai dan boleh dilihat pada musim depan.
Dalam perkembangan sama, Fuzzeimi mengesahkan bahawa Pahang sudah menyerahkan senarai semua pemain tempatan dan import kepada persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.