

Sejarah hitam
Harian Metro
29 Disember 2013
Kuantan: Kejadian banjir besar di beberapa daerah di Pahang baru-baru ini turut mengakibatkan kediaman empat pemain skuad Pahang dinaiki air lebih dua meter sekali gus mengakibatkan mereka kerugian harta benda.
Selain kerosakan perkakas elektrik dan perabot, ada di antara mereka berdepan kerugian lebih besar apabila kenderaan masing-masing yang tidak sempat dialih, rosak teruk gara-gara air naik terlalu cepat.
Bagi penjaga gol Tok Gajah, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, 24, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah Kampung Seri Belat yang didiaminya selepas lebih 30 tahun dibangunkan apabila paras air mencecah dua meter.
Menurutnya, di kawasan yang lebih rendah, paras air melebihi empat meter hingga menyebabkan banyak rumah termasuk kenderaan tenggelam dan kerugian besar terpaksa ditanggung penduduk.
Katanya, ketika banjir 2001 yang menyebabkan hampir keseluruhan perumahan Sungai Isap ditenggelami banjir, paras air di Kampung Seri Belat ketika itu hanya mencecah buku lali saja dan tidak menjejaskan aktiviti seharian penduduk.
“Namun kejadian banjir kali ini merubah segala-galanya. Saya sekeluarga tidak sempat menyelamatkan perabot dan peralatan elektrik berikutan air naik begitu cepat selain tidak menjangka banjir besar boleh berlaku.
“Lebih memilukan apabila kereta Proton Saga milik arwah ayah turut sama tenggelam, saya tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya dapat melihat saja,” katanya.
Mohd Khairul Azhan atau lebih dikenali dengan panggilan Yan berkata, dia sekeluarga kerugian lebih RM6,000 disebabkan banjir kali ini yang akan menjadi kenangan penduduk setempat.
Bagi R Gopinathan, 24, (gambar) yang tinggal di perumahan Tanah Putih Baru, kejadian banjir yang berlaku itu tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila kerana ia adalah kali pertama rumahnya ditenggelami air.
“Air naik lebih dua meter menyebabkan banyak barangan dalam rumah rosak. Saya sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah saudara selepas diarahkan pihak berkuasa yang bimbang kejadian buruk berlaku berikutan arus deras dan kedudukan rumah hampir dengan Sungai Kuantan.
“Selepas lebih 20 tahun menetap di perumahan Tanah Putih Baru, kejadian banjir kali ini tidak mungkin dapat dilupakan. Sebelum ini saya hanya melihat, namun kali ini terpaksa merasainya sendiri,” katanya.
Menurutnya, kejadian banjir itu menjadi sejarah hitam buatnya sekeluarga selepas lebih 15 tahun menetap di kawasan berkenaan.
Begitupun, Gopinathan lebih simpati kepada mangsa banjir terutama di Sungai Isap, Tanah Putih Baru, Kampung Seri Belat dan Bukit Rangin yang terpaksa menanggung kerugian besar apabila banyak harta benda mereka musnah dalam sekelip mata.
Ketua pasukan Pahang, Jalaluddin Jaafar berkata, walaupun tidak banyak kerosakan harta benda namun kejadian banjir kali ini mencatat sejarah apabila rumahnya di perumahan Taman Guru dimasuki air hingga mencecah buku lali.
“Saya tidak menyangka banjir kali ini begitu besar hingga menyebabkan banyak kawasan perumahan ditenggelami air hingga mengundang kerugian.
“Kebanyakan barang seperti perabot, mesin basuh dan peti sejuk sempat diselamatkan, saya bersyukur paras air di kawasan rumah tidak terlalu tinggi,” katanya yang sempat meninjau kesan kerosakan harta benda mangsa banjir di beberapa penempatan lain.
Pemain Pahang lain yang turut terkena musibah berkenaan ialah Mohd Shahrizan Salleh yang tinggal di Indera Mahkota selain penolong jurulatih, Ahmad Shahrudin Rosdi dan Muadzar Mohamad.