

Liga M 2014 banyak berehat?
Utusan Malaysia
3 Januari 2014
KUALA LUMPUR - Tiga peristiwa penting sepanjang 2014 bakal menjadi pertimbangan utama Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila bersidang hari ini dalam memuktamadkan jadual perlawanan Liga Malaysia musim ini.
Puasa Ramadan, pusingan akhir Piala Dunia Ke-20 dan Sukan Asia Ke-17 di Incheon akan lebih memanjangkan tempoh Liga M musim 2014 dengan beberapa aksi Liga Super, Perdana, Piala FA dan Malaysia perlu direhatkan seketika dan tarikhnya dipinda.
Secara kebetulan, 1 Ramadan 1435 Hijrah, tahun ini bakal disambut umat Islam seluruh dunia pada 28 Jun, 16 hari selepas tirai Piala Dunia 2014 disingkap di Arena Sao Paulo, Brazil yang menemukan tuan rumah dengan Croatia tanggal 12 Jun.
Mengikut tradisinya seperti tahun-tahun terdahulu, aksi Liga M turut bakal berehat lebih sebulan sepanjang Ramadan termasuk sempena Piala Dunia yang pastinya sudah mencuri tumpuan dan minat peminat bola sepak tempatan (menerusi siaran langsung televisyen).
Perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio de Janeiro dijadual pada 13 Julai sementara umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 28 Julai malah lima hari sebelumnya, bermula pula Sukan Komanwel XX di Glasgow.
Ketika Liga Super dan Perdana kian berpenghujung dan Piala Malaysia mendekati, FAM pasti perlu menangguhkan lagi aksinya bagi memberikan laluan persiapan skuad bawah 23 tahun negara (Harimau Muda A dan tiga pemain senior) ke Sukan Asia Incheon dari 19 September hingga 4 Oktober.
Ketika dirujuk kepada Pengerusi JKPT yang juga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah semalam, katanya: "Kami akan mengambil kira kesemua keadaan itu dalam menentukan perjalanan Liga M. Tunggulah keputusannya selepas mesyuarat (hari ini).
"Saya tidak pasti sama ada kita perlu rehatkan liga atau tidak (disebabkan ketiga-tiga peristiwa dan kejohanan tersebut). Kami akan cuba semak semula (jadual jika didapati bertindan, termasuk penyertaan Selangor dan Kelantan dalam Piala AFC 2014).''
Afandi turut tidak menolak kemungkinan menjadikan kes lima pemain Kuala Lumpur yang sudah digantung seumur hidup dan tujuh lagi yang masih dibicarakan Jawatankuasa Tatatertib (JTT) FAM atas kes mengatur keputusan Liga Perdana 2013, sebagai salah satu agenda JKPT, hari ini.
JKPT juga perlu menyentuh dan
memastikan isu, nasib dan status kesemua pemain berkenaan yang ada di antaranya mungkin sudah didaftarkan pasukan tertentu Liga M (termasuk Liga FAM) bagi musim 2014.
Lima yang sudah digantung seumur hidup daripada kegiatan bola sepak selain didenda RM20,000 seorang oleh JTT pada 20 November lalu ialah Phoo Kai Lun, Jeremy Danker, Hafizi Roslee, Khairul Anuar Shafie dan Fadhlullah Yunsifar.
Tujuh lagi, Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Syazwan Mohamed Rani, Mugilan Kartik Jaya Gobi, Muhammad Azwan Jatin, Sivaraj Sadubathi dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor, hanya akan mengetahui nasib mereka, Selasa ini.