

Azam tahun baharu Alex
Sinar Harian
3 Januari 2014
PENYERANG berbisa Pahang, Mohd Azamuddin Akil atau lebih mesra disapa Alex, berazam mahu menghadiahkan Piala Sumbangsih buat penyokong setia Tok Gajah pada pertembunganpembuka tirai Liga Malaysia (Liga-M) 17 Januari ini, di antara Pahang dengan Lions XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan.Jelas Alex, rata-rata pemain yang membarisi skuad Pahang musim ini sememangnya tidak pernah mendakap Piala Sumbangsih itu.Katanya, semangat pemain begitu tinggi untuk memenangi perlawanan bertemu Juara Liga Super musim lalu itu.“Kami semakin bersemangat setelah berjaya menamatkan kemarau selama 23 tahun kejuaraan Piala Malaysia, November lalu. Ianya menjadi pembakar semangat buat kami semua untuk menghadiahkan pula Piala Sumbangsih kepada penyokong Pahang.“Apa yang lebih penting lagi, kemenangan tersebut mampu memberi suntikan moral yang baik buat kesemua pemain bagi menghadapi saingan Liga-M nanti,” katanya.Namun menurut Alex, cabaran Lions XII nanti cukup berliku memandangkan mereka membariskan ramai pemain berpengalaman yang mewakili skuad senior Singapura.“Saya mahu setiap pemain memberi fokus yang sepenuhnya bagi pertemuan itu. Sudah semestinya mereka akan hadir ke Kuantan untuk meraih kemenangan juga.“Esok (hari ini) kami akan terbang ke Hong Kong untuk menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab di sana.“Saya yakin persiapan yang dirangka oleh pihak pengurusan setakat ini mampu mempersiapkan kami sebelum mengharungi kempen liga tempatan,” katanya.