

Zainal cabar Pemain
Sinar Harian
2 Januari 2014
PENOLONG jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menggesa pemain di posisi tengah skuad Tok Gajah meningkatkan permainan bagi menampung kekosongan ditinggalkan Amirulhadi Zainal yang menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk musim 2014, lapor ROSILAWATI ROSEDI.
Zainal memberitahu, Hafiz Kamal, Azidan Saruddin dan Faizol Hussain perlu membuktikan kemampuan mereka sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula.
Menurutnya, ketiga-tiga pemain tengah itu perlu bekerja keras untuk merebut tempat kesebelasan utama dalam pasukan kendalian Ronald Smith itu.
“Memang kita akui kehilangan Yol (Amirulhadi) dirasai, kerana dia antara key player Pahang musim ini, namun saya berharap pemain sedia ada dapat membuktikan kemampuan sebenar,” katanya, kelmarin.
Beliau berkata demikian selepas tamatnya perlawanan persahabatan menentang UiTM yang berkesudahan keputusan memihak Pahang, 6-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Dalam perlawanan itu, Hafiz menjaringkan dua gol bersama penyerang kelahiran Argentina, Matias Ruben Conti satu lagi gol masing-masing dijaringkan oleh R Gopinanthan dan pemain pertahanan import baharu Tok Gajah, Zeshan Rehman.
Kelibat pengendali Ronald Smith pula tidak kelihatan, difahamkan bekas jurulatih Sabah dan Johor FA itu menyelesaikan urusannya di Australia.
Ketika ditanya prestasi anak-anak buahnya, Zainal mengakui corak permainan mereka banyak berubah dan menampakkan peningkatan persefahaman dan beliau berharap ia dapat dikekalkan apabila kancah Liga-M bermula.
“Memang diakui selaku penyandang juara Piala Malaysia, tekanan itu memang ada tetapi setiap pemain perlu memainkan peranan berganda mereka jika mahukan kejayaan terus berpihak kepada Pahang,” katanya.