

Zainal cabar Hafiz, Azidan dan Faizol
Sinar Harian
4 Januari 2014
SELEPAS kehilangan pemain tengahnya, Amirulhadi Zainal yang sah berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) musim 2014, Pahang terus mengorak langkah mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan.Terbaru, skuad bimbingan Ronald Smith sudah mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Shahzan Muda dan UiTM di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Ahad lalu yang berkesudahan kemenangan 6-1 ke atas lawan.Biarpun hanya perlawanan persahabatan, ternyata keterujaan peminat Pahang menyaksikan stadium dipenuhi penyokong dan sorakan bergema setiap kali Pahang meledakkan jaringan ke gawang pelawat. BISA BARUDalam perlawanan tersebut, pemain pertahanan terbaru pasukan, Zeshan Rehman menjaringkan satu gol manakala dua lagi oleh pemain tengah, Hafiz Kamal dan penyerang kelahiran Argentina, Matias Ruben Conti selain R Gopinanthan.Malah pasukan itu terbang ke Hong Kong mengadakan siri perlawanan persahabatan bersama kelab dari wilayah itu menentang Citizen FC pada 4 Januari,Kitchee FC (6 Jan) dan Rangers FC (7 Jan) sebelum kembali ke tanah air.ISI KEKOSONGANBagi Penolong jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan, pemain tengah perlu bekerja keras dan meningkatkan usaha mereka lagi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Amirulhadi.Bekas pemain kebangsaan itu memberitahu, Hafiz Kamal, Azidan Saruddin dan Faizol Hussain perlu membuktikan kemampuan mereka setanding Amirulhadi sekali gus dapat membantu jentera tengah juara Piala Malaysia 2013 itu.“Memang kita akui kehilangan Yol dirasai, kerana dia antara key player Pahang pada musim ini, namun saya berharap pemain sedia ada dapat membuktikan kemampuan sebenar,” katanya.ADA TEKANANMengulas prestasi anak-anak buahnya, Zainal mengakui corak permainan mereka banyak berubah dan menampakkan peningkatan persefahaman dan beliau berharap ia dapat dikekalkan apabila kancah Liga Malaysia 2014 bermula.“Memang diakui selaku penyandang juara Piala Malaysia, tekanan itu memang ada tetapi setiap pemain perlu memainkan peranan berganda mereka jika mahukan kejayaan terus berpihak kepada Pahang,” katanya.