

Tiga kelab Hong Kong uji Tok Gajah
Utusan Malaysia
5 Januari 2014
KUANTAN - Juara Piala Malaysia, Pahang kini berkampung di Hong Kong untuk menguji pemainnya sebagai persiapan mengharungi musim baharu Liga Malaysia yang akan bermula pada 17 Januari ini.
Skuad kendalian Ronald Smith itu bertolak kelmarin untuk mengharungi aksi persahabatan dengan tiga kelab di Hong Kong iaitu Citizen FC, Kitchee FC dan Rangers FC sebelum pulang ke tanah air, Selasa depan.
Pemain paling senior dalam skuad Tok Gajah, Jalaluddin Jaafar berkata, tiga perlawanan di Hong Kong menjadi pentas buat pemain meningkatkan prestasi mereka.
"Ini adalah peluang terbaik kami untuk mempamer pretasi terbaik sebagai persiapan berdepan LionsXII dalam perlawanan Piala Sumbangsihdi Stadium Darul Makmur, 17 Januari nanti.
"Tahun lepas kita turut mengadakan tiga perlawanan persahabatan di Hong Kongi," katanya.
Menurutnya, semua pemain kini berusaha untuk mencapai prestasi terbaik sebelum bermulanya liga kerana masih ada pemain yang dibelenggu kecederaan, namun tidak serius.
Jalaluddin yang masih lagi diberi kepercayaan sebagai ketua pasukan berkata, kehadiran penyerang dari Nigeria yang juga bekas pemain Kelantan, Dickson Nwakaeme dan pertahanan dari Pakistan, Zeshan Rehman akan memperkuatkan lagi skuad Tok Gajah musim ini bersama dua pemain import sedia ada, Matias Conti dan Damion Stewart.
"Sebelum ini kita telah mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang PKNS FC, namun kami kalah 1-2 sebelum membelasah UiTM FC 6-1," ujarnya.
Katanya lagi, masih banyak kelemahan yang perlu diatasi selepas dua perlawanan persahabatan itu dan semua pemain perlu memperbaikinya di Hong Kong.
"Kedatangan kami ke Hong Kong juga adalah untuk membentuk keserasian di setiap posisi serta meningkatkan tahap kecergasan. Kami juga mahu membentuk kerjasama mantap, yang merupakan resepi utama kejayaan Pahang musim lalu," katanya lagi.