top of page

Tunggu laporan polis berhubung insiden pergaduhan - Fuzzeimi

Utusan Malaysia

9 Februari 2014

KUANTAN - Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) telah dimaklumkan bahawa penyokong skuad Johor Darul Ta'zim tidak akan hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara Pahang dan pasukan itu di Stadium Darul Makmur malam semalam.

Setiausaha Agungnya, Fuzzeimi Ibrahim berkata, pada Rabu lalu, beliau menghubungi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan dimaklumkan penyokong skuad itu tidak akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Menurutnya, beliau juga dimaklumkan mengenai ketidakhadiran penyokong pasukan itu oleh pegawai JDT dalam mesyuarat bersama antara Pahang dan pegawai skuad berkenaan pada sebelah pagi hari perlawanan.

"Jadi kami telah dimaklumkan, melalui PBNJ, bahawa penyokong mereka tidak akan hadir menyaksikan perlawanan malam tadi (semalam), tetapi kira-kira pukul 6.30 petang pihak polis memaklumkan kepada saya bahawa ada penyokong JDT yang hadir.

"Saya pada waktu itu menghubungi pihak PBNJ untuk mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran penyokong mereka tetapi tiada sesiapa menjawab panggilan saya.

"Tetapi kami tetap menyambut kehadiran mereka dengan menyediakan tempat letak kenderaan dan kawalan keselamatan memasuki stadium," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Fuzzeimi berkata, makluman awal mengenai kehadiran penyokong daripada sesebuah pasukan adalah penting bukan sahaja untuk penyediaan tempat duduk malah aspek keselamatan setiap penyokong yang hadir.

"Kami sendiri (PNBP) akan berbuat demikian setiap kali bertandang ke tempat lawan. Kami akan maklumkan berapa ramai penyokong dan diketuai oleh siapa, perkara ini sangat penting," katanya.

Mengulas mengenai insiden yang berlaku antara penyokong Pahang dan JDT selepas perlawanan yang dimenangi skuad Tok Gajah dengan jaringan 3-2 itu tamat, beliau berkata, hanya mengetahui perkara itu melalui akhbar semalam.

Katanya, PBNP enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut dan akan menunggu laporan polis terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin penyokong Pahang tidak akan bertindak sewenang-wenangnya untuk mencetuskan provokasi yang boleh mengundangkan kepada situasi kelam-kabut kerana mereka hanya hadir untuk menyaksikan perlawanan bola sepak dan pulang dengan selamat.

"Ini bukan kali pertama PBNP berdepan dengan perlawanan bola sepak, kita sudah berjumpa dengan wakil kelab penyokong dan meminta mereka supaya berkelakuan baik dan terus menyokong pasukan tanpa perlu berbuat provokasi kepada pasukan serta penyokong pelawat.

"Saya juga percaya perkara yang sama turut dibuat oleh PBNJ tetapi pergaduhan masih juga berlaku sehingga mengundang kesusahan kepada orang lain.

"Saya tak mahu tuduh tapi tak mustahil ada pihak lain yang tak suka perlawanan bola sepak berlangsung dengan aman dan berakhir tanpa insiden buruk berlaku," katanya.

 

Please reload

Twitter

Follow us

Subscribe

Facebook

Become a Fan

YouTube

  • Twitter Metallic
  • Facebook Metallic
  • YouTube Metallic

Penaja:

Penaja Pakaian:

© 2013 by PAHANG FA.  Powered by M Direct Sports.

bottom of page