

Dollah yakin PDRM mampu buat kejutan
Harian Metro
13 Februari 2014
Seremban: Selepas gagal meraih kemenangan apabila sekadar seri 1-1 dengan Pahang, jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh tetap yakin skuad bimbingannya itu bakal melakukan kejutan pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur Kuantan, Selasa ini.
Bekas pemain kebangsaan itu meluahkan keyakinannya mencipta kemenangan ke atas juara Piala Sumbangsih musim ini dan seterusnya membawa PDRM layak ke separuh akhir.
Keyakinan beliau itu bersandarkan kepada persembahan skuadnya di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.
Biarpun mengakui PDRM mungkin berdepan tugas berat ketika bertandang di tempat lawan selain rekod baik Pahang di laman sendiri, Dollah yakin kemampuan anak buahnya untuk mencipta kejutan.
“Saya tidak menafikan tugas lebih berat di Kuantan, tapi jika pemain dapat mengekalkan prestasi seperti malam ini (kelmarin), kemenangan boleh dicapai.
“Selama ini permainan kita tidak begitu menonjol, tapi malam ini nampak begitu cantik dan semua pemain menjalankan tanggungjawab dengan baik seperti dirancang.
“Saya puas hati dari segi prestasi dan jika corak seperti ini dapat dikekalkan di Stadium Darul Makmur nanti, saya yakin dan insya-Allah, kita akan buat kejutan dan tidak mustahil untuk menang,” katanya.
Menurut Dollah, peluang PDRM untuk melayakkan diri ke kelompok empat pasukan terbaik saingan kalah mati itu belum tertutup hanya semata-mata berdasarkan keputusan seri yang dicapai kelmarin kerana skuadnya menjanjikan saingan lebih sengit nanti.
Mengenai gol penyamaan Pahang, pengendali berusia 51 tahun itu mengakui tindakan pemain PDRM untuk bertahan dengan kelebihan satu gol itu jelas tidak menjadi apabila skuad Tok Gajah melakukan serangan bertali arus.
“Bermain dengan pasukan berpengalaman seperti Pahang sememangnya perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh melakukan kesilapan, tapi saya percaya peluang kita masih terbuka,” kata pengendali kelahiran Melaka itu.
PDRM mendahului hasil jaringan penyerang import dari Brazil, Chad Charles Souza pada minit ke-13, manakala gol penyamaan Pahang dijaringkan Matias Ruben Conti m-77.