top of page


Hafiz Kamal tetap merendah diri
Utusan Malaysia
14 Februari 2014
KUANTAN - Pemain tengah Pahang, Mohd. Hafiz Kamal mahu menjadikan pemilihannya untuk menyertai skuad Harimau Malaya sebagai satu motivasi bagi meningkatkan prestasinya sepanjang musim ini. Pemain yang berasal dari Pantai Remis, Perak itu berkata, dia akan terus mempamerkan aksi terbaik setiap kali diberi peluang beraksi menyarung jersi kebangsaan. "Saya sangat teruja apabila pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan nama saya untuk menyertai kem kebangsaan sebagai persiapan berdepan Yemen pada saingan kelayakan Piala Asia 2015. "Apa pun perjalanan karier saya masih jauh dan saya tidak boleh berpuas hati dengan prestasi semasa namun perlu lebih gigih menjalani latihan agar mutu permainan sentiasa meningkat," katanya kepada Utusan Malaysia semalam. Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, tonggak Pahang itu mencuri tumpuan ramai pemerhati bola sepak yang melihat dia antara pemain tengah yang memiliki kebolehan sebagai perancang mahu pun ketika membantu pertahanan. Selain Mohd. Hafiz, penjaga gol Tok Gajah, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid turut dipanggil oleh Kim Swee sebagai persiapan menjelang aksi persahabatan menentang Filipina. Mohd. Hafiz berkata, dia akan memastikan pemilihannya sebagai pemain kebangsaan tidak sia-sia dan berazam membantu Harimau Malaya untuk mendapat pencapaian terbaik. Dia kini memberi tumpuan untuk membantu pasukannya meraih tiga mata apabila bertandang ke Kuala Terengganu esok untuk berdepan skuad Penyu. Katanya, pengunduran Mohd. Amirulhadi Zainal yang menyertai Johor Darul Ta'zim (DT) memberi peluang buatnya untuk berada dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah.
Please reload
bottom of page