

Nwakamae mahu terus ‘mengganas’
Harian Metro
14 Februari 2014
Kuantan: Persembahan yang semakin mantap pada saingan Piala FA bertemu PDRM Selasa lalu menjadi petanda awal permata hitam Pahang, Dickson Nwakamae akan ‘mengganas’ selepas ini. Walaupun gandingan bersama Matias Conti di bahagian serangan masih di anggap longgar, keserasian pasti dapat dibentuk dalam tempoh terdekat apabila masing-masing memahami corak permainan diperlukan. “Selepas mengalami kecederaan paha kiri pada perlawanan Piala Sumbangsih, saya terpaksa berehat panjang hingga menjejaskan persiapan pasukan menghadapi saingan Liga Super dan Piala FA. “Namun, kini saya benar-benar cergas dan bersedia untuk menggempur kubu lawan pada setiap perlawanan bagi membalas kepercayaan diletakkan jurulatih (Ronald Smith) yang agak kecewa apabila saya terpaksa berehat panjang. “Saya berharap peminat Tok Gajah dapat memberikan sedikit waktu pada saya untuk mengembalikan prestasi sebenar dalam usaha meletakkan pasukan pada kedudukan terbaik,” katanya semalam. Menurut pemain kelahiran Nigeria itu, keyakinannya kini sudah kembali terutama selepas beraksi pada perlawanan dengan PDRM, walaupun gagal menjaringkan gol namun sudah cukup dapat mencemaskan benteng pertahanan lawan. Dickson berkata, dia yakin persefahaman dengan Conti akan lebih mantap dalam beberapa perlawanan akan datang, musim pertama bergandingan bukan penghalang untuk mereka menyerlah. Dia seronok bersama Pahang yang membariskan ramai pemain terbaik seperti Azamuddin Akil, R Surendran, Razman Roslan, Jalalludin Jaafar, R Gopinathan dan Shahrizan Salleh. “Sokongan Damion Stewart, Zeeshan Rehman dan Conti (Matias) akan menjadi pelengkap kepada kekuatan Tok Gajah musim ini yang memburu kejuaraan Liga Super, Piala FA dan mengekalkan Piala Malaysia,” katanya.