

Ledakan Mohd Hafiz bantu Pahang layak separuh akhir
Berita Harian
19 Februari 2014
Sukan Ledakan Mohd Hafiz bantu Pahang layak separuh akhir 2014/02/19 - 07:27:58 AM Oleh Asrol Awang Cetak Emel Kawan Aksi Fauzi Roslan (kanan) dan rakan sepasukan Pahang, Dickson Nwakaeme ketika merai jaringan PDRM di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Kuantan: Sepakan percuma pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal pada minit akhir membantu Pahang layak ke separuh akhir Piala FA musim ini, selepas menjinakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 pada saingan suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi. Jaringan dari pakar sepakan percuma itu membantu skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 3-2 menerusi agregat, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan pertama di tempat lawannya itu sebelum ini.
Begitupun, dalam perlawanan malam tadi itu, PDRM terlebih dulu memberi ancaman barisan pertahanan tuan rumah menerusi penyerang berbisa mereka, Ashfaq Ali tetapi cubaannya mudah ditepis penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid seawal minit pertama. Tuan rumah pula memiliki peluang terbaik pada minit ke-23, namun umpanan bola lintang R Gopinathan gagal disudahkan R Surendran apabila ia melepasi gawang palang lawan. Akhirnya, jaringan yang dinantikan Pahang muncul juga menerusi cubaan kemas penyerangnya, Mohd Fauzi Rozlan dari luar kotak penalti pada minit ke-38. Suntik semangat Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad kendalian Ronald Smith ini untuk menambah jaringan tetapi pertahanan PDRM terus kebal mempertahankan gawang mereka sehingga tamat separuh masa pertama. Sebaik babak kedua bersambung, penyerang import PDRM, Chad Charles Souza berjaya menyamakan kedudukan 1-1 bagi memberi tekanan kepada tuan rumah pada minit ke-50. Ketika PDRM seakan mampu mengheret perlawanan ke masa tambahan, Mohd Hafiz menyentap skuad kendalian Dollah Salleh itu untuk memastikan Pahang layak ke separuh akhir piala berprestij itu untuk bertemu Johor Darul Ta’azim (JDT) dalam saingan separuh akhir selepas ini.