

Pemain kota janji
Sinar Harian
20 Februari 2014
"SEGALANYA serba menjadi." Itu pandangan pengendali Pahang, Ronald Smith dengan kejayaan anak didiknya mengotakan janji membawa Tok Gajah melangkah ke pentas separuh akhir Piala FA musim ini selepas layak dengan agregat 3-2 berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Makmur, kelmarin. Bagi bekas jurulatih Sabah dan Johor FA itu, beliau gembira dengan kejayaan Pahang dan memuji kesungguhan pemain yang berjaya mengikut perancangan untuk membawa Tok Gajah mengulangi pencapaian sama pada musim lalu. Menurutnya, kejayaan itu membuktikan pemainnya mengotakan janji untuk memastikan kemaraan selepas mempamerkan prestasi hambar ketika tewas di tangan Terengganu 0-2, Sabtu lalu. “Saya berharap kejayaan ini dapat memberikan suntikan semangat selepas berdepan kekecewaan ketika tewas menentang Terengganu. “Memang saya gembira dengan kemenangan ini khususnya kesungguhan pemain bekerja keras untuk mencari gol hingga wisel penamat. Saya mahu kejayaan ini membantu meningkatkan moral dan komitmen tinggi pemain,” katanya, semalam. Dalam pada itu, ketika ditanya pandangannya berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir piala itu pada 13 dan 20 Mei depan, beliau mengakui perlawanan itu dijangka sengit bagi merebut tempat ke final. “JDT adalah sebuah pasukan yang hebat dan sudah pasti pemainnya perlu bekerja keras untuk merealisasikan impian,” katanya.